Isnin, 27 Februari 2012

Buat Seorang Adik; Yang Aku & Allah Juapun Sayang Kepadanya.

BismilLah. Assalamu'alaikum wbt.

Surat ini aku karang, buat seorang adik yang aku sayangi, yang dia telahpun meninggalkan sebuah nota cintanya pagi tadi, di dalam bilik hatiku. Adapun, notamu itu amatlah menyentuh hati kecilku ini.

Wahai adik, pertama sekali, tahukah kamu, kenapa aku selalu menulis kisah-kisah yang menyayat hati di sini?

Aku menulis, bukanlah kerana aku laparkan perhatian dan simpati manusia, bukan. Bahkan, untuk apalah aku mahu meraih perhatian dan simpati mereka, sedangkan yang telah menghidup dan yang menguatkan aku selama ini adalah Allah, dan bukanlah mereka yang konon-kononnya kasihan kepada nasibku itu.

Adalah sebab-musabab aku menulis kisah-kisah itu, walaupun jalan ceritanya tidaklah benar-benar menggambarkan pengalaman hidupku sendiri, namun sakit dan peritnya adalah tetap sama dan serupa, dan aku gabungkan pula dengan kisah-kisah sedih orang-orang di sekelilingku, kerana aku mahu menunjukkan kepada dunia ini, bahawa tatkala mereka sedang bergembira, masih ramai lagi manusia-manusia di luar sana yang hidupnya setiap hari, adalah ibarat seperti berada di dalam sebuah perigi buta yang gelap.

Adapun, sebab itulah aku tidak pernah mengangkat diriku sebagai orang ahli agama di sini, kerana aku apabila berbicara, adalah mewakili adik-adikku yang kehidupannya adalah sama ataupun lebih perit daripada kehidupanku sendiri, dan aku ingin sekali menyedarkan mereka, bahawa Allah itu, akan sentiasa ada untuk mereka.

Dan bahawa sesungguhnya Allahlah yang telah memilih mereka untuk melalui ujian-ujian hidup yang tidak pernahpun terlintas di hati orang-orang yang sedang bergembira, bahawa, ujian-ujian hidup yang sering mengganggumu itu, adalah menunjukkan bukti bahawa kamu adalah orang-orang yang berjiwa kuat yang telah dipilih oleh Allah sendiri, dan percayalah kata kakakmu ini, bahawa kamu mampu untuk menghadapinya, dan kamu bukanlah seperti orang-orang lain yang lemah!


Wahai adik yang dirinya amat aku cintai walaupun aku tidak tahupun siapa namamu, namun tahukah kamu, bahawa kita sebenarnya telahpun berkenal-kenalan tatkala kita masih lagi merupakan roh-roh yang taat di bawah 'arasy Allah dahulu,

Ketahuilah, apabila kamu meminta nasihat dariku tentang bagaimanakah lagi untuk dirimu untuk terus bernafas di dalam lumpur hitam yang selalu-selalu membuatmu berfikir bahawa kehidupan ini tidak lain hanyalah sekadar mahu menganjing dirimu itu....

Sungguh adikku! Sungguh demi Allah, aku tidak tahu apa yang harus kuperbuat, atau apakah nasihat yang sepatutnya perlu aku berikan kepadamu, kerna aku melihat, jiwamu adalah jiwa yang murni dan luhur, dan kamu bukanlah seorang calang-calang manusia, dan barangkali, kamu lebih hebat menahan musibah daripada aku sendiri!

Adikku, aku sendiripun ada berdepan dengan keadaan sepertimu, yang mana situasi kita mungkinlah tidak sama, namun kisah hidup orang-orang seperti kita ini, ada selalu diceritakan oleh orang di dalam novel-novel, dan juga di dalam drama-drama di tv; yang selalu berjaya membuatkan orang menangis!

Kamu tahu, aku selalu mendengar, untuk mendapatkan sebuah hati yang putih dan baik, kita perlulah selalu memaafkan kesalahan orang kepada kita, dan usahlah menyimpan dendam terhadap orang-orang itu, ataupun merasa iri hati apabila melihat kebahagiaan orang yang lebih daripada kita.

Mendengar itu kan dik, kakakmu inipun meloncat-loncatlah kegembiraan, kerana merasakan hatinya akan dibersihkan oleh Allah daripada semua jelaga dosanya selama ini. Lalu akupun setiap malam sebelum menutup mataku, berdoa kepada Allah, bahawa aku telah redha dan telahpun memaafkan semua yang pernah membuat salah kepadaku, dan semoga urusan mereka hendak masuk ke syurga nanti, tidak akan terhalang hanya kerana aku seorang yang masih belum mahu memberikan maaf.

Namun kamu tahu dik, setelah lama aku diulit gembira itu kerana menyangka bahawa hati aku ini telahpun putih bersih tanpa penyakit-penyakit hati hingga lapanglah dada dan fikiranku ini aku rasakan, barulah aku teringat, bahawa selama aku hidup sampailah ke hari ini, rupa-rupanya, masih ada yang aku belum lagi sanggup untuk memaafkan dia!

Saat itu, aku jadi galau sekali, dik!


Entahlah dik, sedangkan orang yang telah mengabaikan tanggungjawabnya terhadapku pun aku masih boleh maafkan, sedangkan orang-orang yang selalu mengumpat keji tentang akarku pun aku masih boleh maafkan, sedangkan orang-orang yang pernah mengkhianatiku pun aku masih juga boleh maafkan, namun yang ini, dik....Akulah yang memohon agar Allahlah yang akan mengampunkan dosaku, kerana barulah aku tahu, bahawa jiwaku ini masih lagi belum ikhlas untuk memberi maaf kepada seorang manusia!

Adikku, aku tidak tahu bagaimana keadaan dirimu jika kamu memakai kasut burukku ini. Dan aku sendiripun, tidak tahulah bagaimana pula keadaan diriku jika aku memakai kasut indahmu itu.

Namun, ada sedikit cahaya yang aku nampak pada lopak-lopak lumpur hitam yang setiap hari kamu melangkah ke dalamnya itu, bahawa Allahlah yang telah menyediakan lopak-lopak lumpur hitam itu untukmu, agar apabila suatu hari kamu telah berjaya keluar daripadanya, kamu akan temui sebuah jalan yang lebih indah yang tidak akan lagi mengotori kasutmu.

Dan percayalah, betapa ramainya manusia saat ini, yang sedari lahirnya telahpun melalui jalan yang indah itu, namun sering pula mereka tidak bersyukur di atas nikmat yang telah Allah berikan kepada mereka itu. Namun kamu dik, kamu adalah seorang manusia, yang apabila kamu diberikan oleh Allah untuk melalui sebuah jalan yang indah itu, kamu tidak akan melihat jalan tersebut sama sepertimana orang-orang yang telah biasa itu, bahkan kamu akan melihat jalan itu, sebagai sebuah jalan yang bertarkan emas dan permata!

Dan Allahlah, yang telah memilihmu untuk menjadi manusia yang bertuah itu!


Ayuhai adik yang amat kakak berharap agar kamu akan masuk ke dalam syurga di atas jerih payah dan kesabaranmu itu,

Bersabarlah. Dan didiklah dirimu sendiri untuk menjadi seorang manusia yang bersyukur. Kalaupun kamu tidak boleh merasa suka terhadap lumpur-lumpur hitam yang terpaksa kamu lalui setiap hari itu, paling tidakpun, teruslah bersangka baik terhadap Allah.

Kamu tahu, waktu aku kecil-kecil dahulu, selalu emakku berpesan kepadaku, orang yang selalu diuji Allah, itu tandanya Allah mengambil berat dan sayang, bahkan cintanya Allah kepada dia adalah melebihi cintaNya kepada orang lain! Adik, hanya itu sahajalah sebuah kata-kata yang telah menguatkan kakiku untuk terus berlari sampailah ke saat ini!

Dan setelah aku tua ini, barulah aku sedar, sebenarnya kata-kata itu, bukanlah datang dari emakku, tetapi ia datang daripada Allah itu sendiri, wahai adik! Dan, kiranya kamu dapat melihat ada yang baik daripada kata-kataku kepadamu ini, ketahuilah adikku, bahawa Allahlah yang sedang berkata-kata kepadamu secara langsung!

Maka adik, berpegang teguhlah kamu kepada Allah semata-mata.

Kerana, lumpur hitam itu tidaklah akan dapat menolongmu saat kamu menghadapi sakaratulmautmu kelak, saudara-maramu sendiripun tidaklah akan dapat menyuluhkan terang ke kuburmu yang gelap itu kelak, sahabat-sahabatmu pun tidaklah akan dapat menenangkanmu saat kamu sedang berpeluh-peluh di padang mahsyar itu kelak, dan aku sendiripun, tidaklah dapat untuk memegang tanganmu saat kamu sedang meniti di atas titian sirat itu kelak!


Adik.

Sesungguhnya yang dapat menolongmu di dunia ini dan juga di semua tempat yang telah aku sebutkan tadi itu hanyalah Allah sahaja! Jadi pesanku, janganlah kamu hampakan tanganNya yang sedang terhulur hendak menolongmu itu. Janganlah sekali-kali, kamu merasa kamu sedang berjuang sendirian, kerana Allah tidak pernah melepaskan tanganNya darimu!

Sebelum aku undurkan diriku yang buruk ini, inilah dia wasiatku kepadamu yang aku mahu sekali kamu jadikan ia sebagai pakaian seumur hidupmu, yang ayat-ayat ini, kalaupun kamu tidak boleh mengingatnya di dalam kepalamu, namun maksudnya, wajiblah kamu hafal dengan hatimu, dan semoga hanya ini sahajalah yang akan dapat memberimu kekuatan setiapkali jiwamu merasa hampir-hampir hendak putus asa, kerana aku, tidaklah aku mempunyai sebuah kata-kata nasihat yang lebih indah daripada yang ini;


...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah At-Tolaaq: 2-3)
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan (atas apa) yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan (atas apa) yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersilap. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (Surah Al-Baqarah: 286)

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

terima kasih atas perkongsiannya. saya tak reti nak berbicara, hanya DIA yang tahu perasaan sya. memang benar, DIA bg ujian ikut kemampuan kita,cuma sy yg x yakin dgn kemampuan sy, tp syukur padaNYA,kerna akal dan ksihatan yg dilimpahkanNYA x pernah putus skalipun melalui keperitan, sy xnak jd org yg b*d*h kerana tidak percaya dengan keyakinan dan kepercayaan NYA terhdap diri sy yg lemah lg hina, klu DIA x yakin, tentu dia xkan bg, sesungguhnya siapalah saya untuk myangkal bahawa DIA maha mengetahui. subhanallah,astaghfirullah

Tanpa Nama berkata...

sblm sy terlupa, terima kasih akak. maaf sgt2 krn myusahkn

Al Faqir Rabi'ah Al 'Adaweeyah berkata...

adik..!

kamu tak menyusahkan kakak langsung, dik! memang seorang kakak itu kerjanya adalah menenangkan adiknya yang sedang menangis.. :)))

akak doakan, moga Allah berikan adik kemudahan dan jalan keluar yang terbaik, lebih baik dari apa yang Dia dah beri pada akak! amin..

ingat tao! Allah sentiasa ada, walaupun kita sorang-sorang..