Isnin, 2 Januari 2012

Sepucuk Surat Buat Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim. 
Segala puji hanyalah buat Allah SWT Pemilik sekalian alam. 
Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, sahabat-sahabat, serta para solihin.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sahabat,

Maafkan aku andai surat ini mengganggu ketenteraman jiwamu. Maafkan aku andai perlakuanku selama ini mengguris hatimu. Namun perlu kau tahu bahawa tidak pernahpun terlintas sepanjang persahabatan kita untuk aku mengkhianatimu, apalagi menyakitimu. Tidak pernah.

Sahabat,

Selama ini aku melihat dirimu sebagai seorang yang sangat tabah. Dan kerana senyum yang selalu terukir di wajahmu itulah aku mendekatimu hingga aku merasa kasih kepadamu. Setelah lama aku mengenalmu, barulah kutahu, bukanlah semua yang tergambar di wajahmu itu adalah apa yang sebenarnya tersirat di hatimu. Rupanya, banyak kisah duka yang kau sembunyikan.

Sahabat,

Mungkin selama ini kau selalu lupa kewujudanku di hadapanmu. Bahkan, kau selalu mengatakan aku ini begitu beruntung kerana lebih begitu dan begini daripada engkau. Dan kau juga sering membandingkan kelemahan dirimu dengan sahabat-sahabat yang lain. Kau selalu merasa dirimu tidak berguna.

Astaghfirullah.

Sahabat,

Hari ini aku mahu beritahu dirimu sesuatu. Janganlah engkau bersedih atau terlalu fokus dengan kejadian-kejadian sedih yang sering hadir dalam hidupmu. Mahukah kau terima kata-kataku ini, sungguh demi Allah, seandainya kau tahu sejarah sebenar kehidupanku, daripada sejak aku lahir hingga ke hari ini, mungkin kau akan merasa ujianmu selama ini tidaklah sebesar mana.

Kau tahu, betapa ramai orang di dunia ini yang cemburu melihat keakraban keluarga yang kau ada? Apa kau tahu selama ini banyak hati yang cemburu melihat kau punya ibu dan bapa yang berjaya mendidik anak-anaknya tanpa pernah meninggalkan mereka? Apakah kau sedar selama ini kau dikelilingi oleh ramai sahabat yang cukup menyayangimu di atas kebaikan serta keramahanmu? Sedarkah engkau, betapa ramai sebenarnya orang di luar sana yang menginginkan kehidupanmu, lebih daripada engkau sendiri menginginkannya?

Astaghfirullah. Sama-samalah kita bersyukur di atas segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kita, walaupun bagi kita ia tidaklah sesempurna mana.

Sahabat,

Ketahuilah olehmu, bahawa aku telah melalui jalan hitam yang lebih panjang daripadamu. Berkali-kali aku jatuh, bahkan hingga aku lari dan berputus asa dari Tuhan! Tapi Tuhan itu sayangkan aku sahabatku. Dia masih sudi membimbingku kepadaNya walaupun aku sering menyalahkan Dia di atas takdir yang Dia berikan kepadaku ini.

Sahabat,

Kau tahu bagaimana aku tahu Dia sayangkan aku? Aku tahu, melalui ujian dan musibah yang Dia berikan kepadaku. Semakin aku jauh dari Dia, semakin aku lalai, semakin aku lupa kepadaNya, semakin aku mencintai perkara-perkara lagha melebihi cinta aku kepadaNya, semakin kuatlah pula ujian dan musibah yang Dia berikan kepadaku! Bahkan, banyak pula permintaanku yang dibiarkanNya tergantung begitu sahaja.

Waktu itu aku memberontak! Aku benci dan sedih dengan kehidupanku. Aku putus asa sahabatku. Dan tiada siapapun ada di sisiku untuk membantuku. Senyum di wajah hanyalah sekadar lakonan.

"Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf: 87)

Sahabat,

Sejak itu, aku mula mencari sebab dan punca terjadinya segala musibah itu. Kenapa aku? Kenapa tidak orang lain? Sudahlah dilahirkan dalam keadaan yang berantakan, ditimpa pula tangga bukan setakat sekali, tetapi berkali-kali! Oh peritnya hidup ini wahai sahabat!

Namun aku mula sedar tentang hakikat yang sebenarnya sahabatku, hanya bila aku mula mendekati Dia.

Sahabat,

Aku sering tertanya-tanya, apabila aku sedih, apakah ubatnya? Apabila aku sengsara, apakah ubatnya? Apabila hidupku susah, apakah ubatnya? Apabila hatiku luka parah dikhianati oleh manusia, di manakah ubatnya??? Di mana?

Aku hairan melihat diriku sendiri sahabatku. Aku seorang Islam, manusia yang percayakan Tuhan. Namun kenapa perilaku serta kehidupanku sama sahaja seperti manusia yang tidak percayakan Tuhan?

Sahabat, pernahkah kau bertanya soalan itu kepada dirimu sendiri?

Kau tahu apa jawapannya sahabatku? Kenapa hati kita sering tidak tenteram, kenapa hidup kita sering ditimpa musibah sedangkan kita seorang muslim? Bukankah seorang muslim itu sepatutnya berhati tenang walaupun hidupnya dalam keadaan daif lagi miskin? Dan aku fikir kehidupanku tidaklah pula sampai aku perlu untuk mengemis simpati orang. Namun, kenapa aku masih tidak tenang???

Sahabat,

Jawapannya tidak perlu kita cari hingga ke hujung duniapun, kerana ia ada pada diri kita sendiri.

"Semakin aku jauh dari Dia, semakin aku lalai, semakin aku lupa kepadaNya, semakin aku mencintai perkara-perkara lagha melebihi cinta aku kepadaNya, semakin kuatlah pula ujian dan musibah yang Dia berikan kepadaku!"

Ya, jawapannya kerana aku selalu lupakan Dia. Aku lupakan syari'at dan suruhanNya! Aku lupa, aku dilahirkan ke dunia ini sebagai seorang manusia, penuh dengan tanggungjawab, bukan sebagai sepohon pokok mahupun seekor lembu yang sedia berkhidmat kepada manusia pada bila-bila masa.

Astagfirullah.

Aku malas hendak bangun subuh, tetapi aku senang pula menghabiskan masa menonton cerita hingga tidur pada waktu lewat tengahmalam. Aku lebih banyak menghafal lirik lagu picisan K-Pop berbanding ayat al-Quran atau hadis. Aku lebih rela menghabiskan masaku setiap hari berjam-jam membaca cerita-cerita artis tetapi malas hendak membaca sirah nabi atau tamadun Islam. Aku lebih banyak menghabiskan masa mencantikkan diri kerana mahu orang yang aku suka agar lebih menyukaiku. Aku lebih gemarkan berpakaian yang menampakkan bentuk tubuhku supaya dilihat lebih kurus. Aku belajar kerana aku mahukan segulung sijil dan pengiktirafan manusia, bukan kerana aku mahu memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Aku lebih suka keluar berjalan-jalan menghabiskan masa bersama teman-temanku dan bercampur-gaul dengan lelaki-lelaki ajnabi berbanding berusrah dengan sahabat-sahabat perempuan untuk lebih mendalami ilmu agama. Aku berkawan dengan orang-orang yang bukan muslim, kononnya aku ini seorang yang universal dan tidak kolot, namun aku tidak menunjukkan contoh sebenar seorang muslim, bahkan aku pula yang mengagumi mereka dan mengikuti mereka dari segi penampilan, perlakuan, dan terutama sekali dalam bab hiburan.

Pendek kata, aku berkata-kata tidak seperti layaknya seorang muslim, aku berkelakuan tidak seperti layaknya seorang muslim, dan paling sedih apabila aku sedar bahawa selama ini aku tidak benar-benar hidup sebagai seorang muslim, walau hakikatnya aku sebenarnya seorang muslim!

Astaghfirullah.

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (Surah Ar-Ra'du: 11)

Sahabat,

Sebanyak mana telah kita perbaiki diri demi kehidupan yang lebih baik dan beerti?

Sahabat,

Sekali lagi aku mahu minta maaf darimu kerana aku benar-benar tidak mampu untuk membimbingmu secara langsung. Namun doaku kudus buatmu, andainya apa yang telah diberikan oleh Allah kepadaku ini adalah apa yang dimaksudkan sebagai hidayah, maka itulah jua doaku buatmu. Moga Dia memberikan hidayah yang sama juga buatmu, bahkan lebih baik dariku agar kau pula yang membimbingku nanti. Sahabat, kiranya aku diizinkan masuk Syurga, aku juga mahu dirimu untuk turut serta denganku!

Sahabat,

Apakah ada sahabatmu yang lain yang mendoakan dirimu sama seperti diriku?

Sahabat,

Maafkan aku jika di pandangan matamu aku kelihatan seperti seorang sahabat yang jahat. Bukan maksudku begitu, tidak sekali-kali. Dan sebenarnya, aku benci apabila mengingati kehidupan jahiliyyahku yang telah lalu. Seboleh-bolehnya aku mahu padamkan kesemuanya, dan aku tidak mahu lagi kembali kepadanya. Mungkin kau tidak dapat memahami perkataanku pada hari ini, namun aku berdoa semoga Allah membukakan hatimu untuk melihat kebenaran suatu hari nanti. Aku tidak membencimu kerana dirimu, namun mungkin suatu hari bila kau melihat dengan mata hatimu yang sebenar-benarnya, kau akan fahami satu persatu khilafmu, mungkin juga, kau akan dapat melihat nilai sebenar seorang sahabat.

Sahabat,

Adakah kau tahu apa tujuan sebenar aku mengarang surat ini? Aku menulis kerana aku mahu memberitahu dirimu bahawa aku sebenarnya melihat sesuatu yang serupa pada dirimu dengan diriku. Aku melihat Allah begitu sayangkan dirimu, sahabatku! Sebab itulah Dia timpakan pelbagai kesusahan dan ujian ke atasmu, agar kau tidak lagi lalai dari mengingati Dia. Agar kau sedar sahabatku, bahawa Dia sedang menghulurkan tangan untuk memberimu kehidupan yang lebih baik!

Kau tahu apa itu kehidupan yang lebih baik? Itulah kehidupan syurga, wahai sahabat. Dia mahu memberikan engkau sebuah syurga. Apakah kau tidak mahu menerima hadiah itu sahabatku? Jika benar, sombong benar dirimu dengan Tuhan. Janganlah begitu sahabatku. Apakah kau sedar, setiapkali kau lelapkan matamu di malam hari, bila-bila masa sahaja Dia boleh untuk tidak lagi mengembalikan nyawamu ke tubuhmu semula? Atau, barangkali nafasmu akan habis, setibanya engkau pada penghujung ayat ini.

Astaghfirullah.

Sahabat,

Aku tahu aku bukanlah seorang ustazah yang mempunyai kelulusan agama daripada universiti Mesir ataupun Jordan. Jauh sekali. Aku hanyalah seorang manusia kerdil yang masih terkapar-kapar dalam mencari redhaNya. Dalam waktu itu, aku sering pula kalah dengan tuntutan nafsu sendiri. Kerana itu, aku tidak mampu untuk membimbingmu. Jiwaku masih terlalu rapuh. Aku risau sekali sahabatku, aku takut jika peristiwa lampau menguasaiku semula hingga aku hilang pertimbangan. Aku takut jika perbuatanku membuat aku masuk neraka kerana menyakitimu, atau perbuatanku membuatkan kau menyakitiku hingga kau masuk neraka. Wana 'uzubillah.

Rasulullah SAW bersabda, "Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, "Aku takut kepada Allah," seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya." (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Sahabat,

Maafkan aku. Aku sayangkan dirimu kerana Allah. Aku pergi juga kerana Allah.

Sahabat,

Bukalah mata hatimu. Ketepikan semua kekurangan yang selalu membuatmu sedih. Lihatlah, dan hitungkan segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepadamu selama ini. Naik turun nafasmu, kesempurnaan anggotamu, akal fikiranmu yang bernas, sahabat-sahabat yang menyayangimu, ahli keluarga yang bersusah-payah mendoakan serta menolong dirimu, serta pengalaman hidup yang telah kau lalui selama ini yang bukan semua orang berpeluang mendapatnya. Dan juga, Allah, Dia yang tidak pernah melupakan, apalagi meninggalkanmu walaupun sesaat. Percayalah sahabatku, andai kau kira segala nikmat itu satu persatu, kau akan sedar, tidak ada sebab sebenarnya untuk dirimu bersedih.

Sahabat,

Usahlah membuang masa menangisi kehidupan dunia yang tidak seberapa ini. Percayalah, kehidupan yang selalu kita kejar-kejar ini, tidak akan berguna sesenpun setelah kita meninggal dunia nanti. Sebaliknya, tangisilah kehidupan abadi dan sempurna di syurga nanti, bayangkan, bayangkanlah jika kita terlepas peluang untuk mendapatkannya! Menangislah kerana itu wahai sahabat kesayanganku!

Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita." (Surah Al-Baqarah: 38)

Seandainya suatu hari nanti hatimu telah merasa tenang dan kau telah dapat melihat dengan mata hatimu, dan kemudian kau merasa rindu kepadaku, aku mahu kau ingat pesanku ini, bahawa aku sentiasa di sini untuk menerima dirimu, andai saja kau telah bersedia untuk menerima hadiah dariNya.

Wassalam.
 
Yang selalu merinduimu lewat doanya,
Al Faqir Rabi'ah Al 'Adaweeyah.

5 ulasan:

cahaya harapan kami berkata...

salam..

akak.. entry akak ni.. kebetulan kene pada situasi sy jugak buat ms skrg.. izinkan sy copy yg ni akk.. :)

Al Faqir Rabi'ah Al 'Adaweeyah berkata...

wsalam wbt..

alhamdulillah.. jika dirasakan bermanfaat, silakan.. ;)))

*huffaz Solehah* berkata...

Subhanallah..tersentuh dengan surat ni..saya juga dalam kembara mencari diri sendiri kak..rindu sangat dengan tarbiyyah..syukran yer buat saya berfikir kembali akan kehidupan sebuah persinggahan ni..saya suka baca semua entri kak..sebab rasa tulisan akak dekat ngan hati n perwatakan kita pon hampir sama..i loike k-POP too..:))

Hanis Zashi berkata...

Terima kasih banyak...terima kasih untuk entry yang bermanfaat ^^

Al Faqir Rabi'ah Al 'Adaweeyah berkata...

@huffaz Solehah:
sama-samalah kita dik.. :))

yang baik itu semuanya datang daripada Allah.. dan yang sebaliknya dari kelemahan akak sendiri..

@Hanis Zashi:
sama-sama dik.. :))