Selasa, 8 April 2014

Kenapa Israel Takutkan Ikhwanul Muslimin?

Subhanallah.. Berdiri-diri bulu roma di tengkuk mendengar perkongsian daripada Kapten Asri ini. Terkenang kembali saat-saat peperangan di zaman Rasulullah SAW dahulu yang terjadi di antara 313 orang tentera Islam melawan 1000 orang tenteraQuraish Mekah. Begitulah bila Allah mengizinkan, tidak ada yang mustahil atau yang dapat menghalang.

Dalam pada ramai di antara kita yang masih lagi bersedih dengan tragedi MH370, janganlah pula lupa untuk turut sama memanjangkan doa-doa kita buat para pejuang Islam di seluruh dunia terutamanya di Palestin, Mesir, Syria, selatan Thailand, di Malaysia sendiri dan lain-lain lagi.

InsyaAllah, suatu hari nanti, Islam pasti akan kembali didaulatkan! Allahu Akbar!! Jom sama-sama kita saksikan video ini, apakah yang menyebabkan para tentera kuffar begitu takut dengan kebangkitan umat Islam sejak daripada perang Bosnia, Palestin, hinggalah ke Syria dan Mesir pada hari ini? Semoga bermanfaat. :)

Jika tidak dapat menonton video di sini, boleh terus tonton di Facebook.
Sila klik di sini. Mohon share jika bermanfaat. :)

PENCERAHAN BERKAITAN HUDUD : NOTA RINGKAS SAYA

8 April 2014

Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah memberi lampu hijau, MT UMNO yang juga YDP YADIM sudah beri 'green light', Tengku Razaleigh sudah beri 'green light'. Semoga Kerajaan negeri Kelantan BERJAYA menguatkuasakan undang-undang hudud di negeri Kelantan. Semoga ahli Parlimen beragama Islam dapat sepakat bersetuju di parlimen apabila tiba masanya perlu sokongan mereka.

Biar Kelantan laksanakan, jika ada kelemahan dalam pelaksanaan di sana sini selepas ini, kita pakat baiki sama-sama. Insha Allah.
Beberapa nota ringkas saya (pandangan peribadi):

1. Hudud hanya akan terjatuh bagi individu yang benar-benar jahat dan sebab itu syaratnya sangat ketat hingga sebahagian pengkritik merasakan 'mustahil' dapat dicari saksi dan bukti sedemikian. Jika tidak cukup syarat maka hukuman ta'zir sahaja yang akan dijatuhkan. Tahap berat hukuman tertakluk kepada peruntukan undang-undang ta'zir dan mengikut kebijaksanaan hakim.

2. Jangan menyangka hukuman hudud sangat mudah dijatuhkan, syarat-syarat perlu diteliti sebelum memberi komentar. Dalam kebanyakan kes, hanya ta'zir akan dijatuhkan kerana tidak cukup bukti untuk hudud dijatuhkan. Contohnya mencuri, tidak akan dipotong tangan kecuali benar-benar yakin dan terbukti pencuri tidak miskin kelaparan, dipaksa, diugut dan lain-lain. Jika terbukti, hudud tidak dijatuhkan.

3. Ulama khilaf sama ada non muslim terlibat, sebahagian menyatakan non-muslim TIDAK TERLIBAT kecuali jika ada berkaitan dengan Muslim. Dalam kes biasa, Non-Muslim boleh menuntut dihukum dengan hukuman sivil biasa.

4. Jika terdapat non-muslim yang memilih untuk dibicara dengan hukuman hudud, ia diharuskan untuk menghukumnya dengan hukum hudud.

5. Jika kedua-duanya terlibat jenayah dan dibimbangi tidak adil kerana muslim kena hudud dan non muslim tidak kena, maka hakim boleh membuat keputusan mengadili secara ta'zir bagi kedua-duanya agar seragam hukumannya, khususnya apabila tidak cukup bukti untuk hudud.

6. Jika non-muslimah berzina dengan muslim, atau sebaliknya, terdapat khilaf ulama mazhab. Sebahagian ulama mengatakan keduanya dihukum hudud sebagai hukuman dari keputusan mahkamah negara dan bukan berasaskan keagamaan. Sebahagian lagi menyatakan yang Islam sahaja dikenakan hudud, yang seorang lagi dihukum setimpal melalui ta'zir.

7. Berkenaan kuasa mahkamah syariah tidak memperuntukan hukuman kepada non-muslim, Peruntukan undang-undang terbabit boleh dipinda dengan kuasa 2/3 ahli parlimen. Parlimen perlu meluluskannya. Di sini diperlukan kesatuan ahli parlimen islam dari PAS, UMNO, PKR & Bebas.

8. Berkenaan wanita tidak boleh menjadi saksi, terdapat pergecualian jika ia di tempat yang tiada lelaki pada kebiasaannya. Selain itu, sebahagian ulama membenarkan wanita yang mencukupi syarat untuk menjadi saksi maka budi bicara hakim adalah terpakai.

9. Jika Non-Muslim merogol muslimah, menurut mazhab maliki, apabila cukup bukti, non-muslim akan dijatuhkan hukuman hudud ke tahap maksimum iaitu hukuman mati kerana pencerobohan secara kekerasan dan jenayah. Muslim juga akan dijatuhi hukuman yang sama.

10. Muslimah yang terbukti dirogol dengan bukti-bukti moden yang meyakinkan walau bukan 4 orang lelaki adil, TIDAK dikenakan hukuman QAZAF sewaktu dia mendakwa seseorang lelaki. namun, keterangan mesti dilakukan secara tertutup agar dakwaan dihalusi dan tidak dihebahkan media sebelum keputusan jitu diperolehi. hak lelaki yang dituduh akan dijaga sebaiknya juga selagi tidak terbukti bersalah.

11. Non Muslim yang minum arak TIDAK dikenakan hukuman hudud. Hanya untuk Muslim. Namun itu juga terdapat beberapa ijtihad yang berbeza, sebahagian menegaskannya sebagai hudud dan sebahagian sebagai ta'zir.

Ini hanya sebahagian nota ringkas. Kesimpulannya, hukuman hudud memerlukan penjelasan dan pengajaran besar-besaran di negeri yang mana hukuman ingin dijalankan agar hampir tiada syubhah lagi rakyat di sana TIDAK MENGETAHUI jenis kesalahan dan hukuman.

Didoakan rakyat Kelantan & Brunei dan semua institusi kehakimannya sudah bersedia dengan ilmu dan kebijaksanaan. Kerana tanpa persediaan yang jitu dan mantap lagi adil, pelaksanaan hukuman ini bakal menjadi fitnah besar kepada Islam seluruhnya.

Khamis, 27 Februari 2014

Nikah Sunnah: Sebuah Pengalaman

"Zaman laa ni, kalo hang takdak RM10,000 ka RM15,000 ka, toksah berangan la nak kawen." 

Err.. Eh? Nabi mana cakap tu? 

Excuse me, saya kawen tahun 2013 dan perbelanjaan majlis bertunang dan kawen saya tak sampai RM5,000 pun. Ya, diulangi, tak sampai RM5,000. 

"Alaa.. Kawen sekali je kot seumur hidup. Kena la grand-grand." 

Hadekkk.. Kawen bukan fairy tale, tapi adalah perkara logik dan realiti. Agama Islam adalah logik dan realiti, sebab itu saya pilih kawen mengikut sunnah, sebab ia memudahkan. Kawen adalah untuk selama-lamanya, bermula selepas akad nikah sampailah ke mati (dan bersambung di sorga insyaAllah). 

Persiapan untuk kehidupan selepas akad nikah itulah yang lebih penting berbanding persiapan majlis yang sehari. Daripada buang duit untuk majlis yang sehari, baik simpan duit tu untuk beli periuk belanga dan lampin anak nanti. 

Zaman sekarang ni, nak melawan arus ikut sunnah memang payah. Tambah payah, bila terpaksa pekakkan telinga mendengar umpat keji orang. 'Orang'; termasuklah kaum kerabat sendiri. Huiii... Kalau azam tak kuat, memang tak jadi. 

Sebab itu, penting sangat untuk berdoa agar dipertemukan dengan pasangan yang berfikrah sama macam kita. InsyaAllah, ianya amat membantu survival plan ‘nikah sunnah’ kita. :) 

So, macamana saya boleh bertunang dan kawen dengan RM5,000 je? Meh sini nak cerita. 


Majlis Bertunang

1) Pakai tudung dan baju yang dah sedia ada. 

2) Takde bunga-bunga hiasan bagai, mak andam, jurugambar profesional, mahupun pelamin. 

3) Beli & gubah sendiri barang hantaran. 

4) Tempah makanan untuk lebih kurang 20 orang tetamu. Kat sini jelah makan duit sikit. :) 


Majlis Kawen

1) Beli kain & jahit sendiri tudung pengantin. Untuk jubah, terpaksa upah orang jahit (sebab dah lama tak jahit baju, so tak berapa konfiden nak jahit sendiri. Heheh.) Saya pakai baju yang sama untuk kedua-dua majlis kenduri sebelah saya dan suami. 

2) Kad jemputan design sendiri je dengan Powerpoint & Word. Print tulisan dakwat hitam atas kertas putih saiz A4 160gm, dapat 4 keping kad untuk sekeping kertas. Gunting sendiri je semua (lebih kurang 200 keping kad). Sampul putih beli dekat Mydin jah^^ 

3) Untuk barang hantaran, biasanya, pihak perempuan beli barang untuk pihak lelaki & sebaliknya. Tapi, saya pulak, beli barang saya sendiri dan suami beli barang dia sendiri kemudian kami tukar. Dengan cara ni insyaAllah dapat elakkan pembaziran sebab masing-masing beli barang sendiri, taste sendiri, so confirm akan pakai^^ 

4) Goodie bag, saya cuma letak yasin, biskut & gula-gula. Gigih isi sendiri dalam goodie bag. Haha^^ Majlis saya takde salam-salam kaut. Goodie bag niat sedekah jah dekat tetamu. Lagipun kalau orang baca yasin tu, dapat pahala kat kita jugak^^ 

5) Sama macam majlis bertunang, majlis kawen saya tak ada bunga-bunga hiasan, pelamin, meja makan beradab (makan bersila je ramai-ramai kat dalam rumah), mak andam, DJ, dan jurugambar profesional. 

6) Langsir bilik pengantin saya cuma alter langsir yang dah sedia ada dan tambah sikit yang baru, jahit sendiri. Cadar & sarung bantalpun jahit sendiri, beli kain cotton je^^ 

7) Semua perabot dalam bilik pengantin seperti katil, meja solek dan almari, saya guna yang dah sedia ada (walaupun mak saya pernah offer nak beli yang baru). Oh, katil tu saya siap cat balik sendiri lagi. Perabot lain just cuci-cuci sikit dengan thinner dan pengilat untuk kurangkan kusam^^ 

8) Untuk kenduri, ikutkan hati nak jemput 50 orang tetamu je, sekadar memenuhi sunnah. Tapi atas permintaan keluarga, jadi 200 orang (70% jemput saudara-mara, selebihnya jiran & kawan-kawan). Untuk makanan, saya guna khidmat katering sebab rumah kat kawasan bandar, so takde la gotong-royong bagai kan. Hehe^^ Duit banyak habis dekat katering dan sewa khemah + kerusi. Itu saja. :) 

9) Bayaran mahar saya, untuk bahagian ini, saya memang terpaksa ‘bincang baik-baik’ dengan keluarga. Saya adalah graduan sarjana lulusan universiti luar negara. Kalau ikutkan ‘harga pasaran’ masa kini, kurang-kurangpun RM10,000 la kan. Konoonnnn… Entah sape yang letak harga tu entah. :p Tapi alhamdulillah, dengan tak melupakan untuk menimbang budi bicara keluarga di samping tetap cuba untuk mempertahankan impian ‘nikah sunnah’ saya, mahar saya taklah terlalu murah dan taklah terlalu mahal sampai RM10,000 bagai kan. Sederhana sahaja. :) 


Now, see? Sebenarnya kawen tu mudah je. Cuma masyarakat kita je yang suka susah-susahkan. Semuanya terpulang pada diri kita sendiri. Kadang nak buat sesuatu yang menentang arus tu kita rasa berat dan terfikir, “Bilalah masyarakat aku ni nak berubah dan faham yang nikah tu sebenarnya mudah??” 

OK, the deal is like this. Diri kita sendiri dah ada kefahaman untuk lebih mengutamakan tuntutan agama berbanding adat dalam masyarakat. So, why not kita buat perubahan itu bermula dengan diri kita sendiri? Amalkan apa yang kita faham tu. Kalau nak tunggu masyarakat berubah, takde maknanya. Lagi teruk adalah. :s 

Dan oh ya, nak nikah sunnah jangan sekadar majlis je yang sunnah. Hubungan kita dengan bakal pasanganpun kenalah ikut sunnah juga ya. Syari’at kena jaga tao. So, pilihlah untuk bercinta selepas nikah^^ Ingat, sesuatu yang dimulai dengan barakah (mengikut syari’at Allah), pasti akan dipermudahkan dan pengakhirannya juga adalah barakah. 

InsyaAllah. Piss n out~ (^_^)v

Sebuah Perkongsian: "OK"

Suami isteri kalau ada masalah, kena berbincang. Serius kena berbincang. Banyak sangat kes perceraian disebabkan oleh benda remeh je sebenarnya. (Saya ada kenalan yang terpaksa berpisah dengan suami sebab kes-kes gini. Kata beliau, memang ralat sangat sebab punca perceraian tu kecik je sebenarnya.)

Waktu masih lagi berkahwin, bila isteri tanya, "Abang, saya cantik tak?"
Suami jawab, "OK."

"Abang, sedap tak saya masak?"
Suami jawab, "OK."

"Abang suka tak layanan saya pada abang?"
"OK."

Selalunya gitulah, waktu masih baik, semuanya OK. Tapi waktu tengah bergaduh, waktu hakim tanya dalam mahkamah kenapa nak bercerai, boleh pulak si suami tu selamba menjawab,

"Saya dah tak boleh terima dia sebab dia tak pandai jaga badan."

"Masakan dia tak sedap, saya selalu terpaksa makan dekat luar."

"Dia tak pandai layan saya. Berbau."

Seriously??? Kenapa waktu dalam mahkamah baru nak cerita semua tu? Kenapa waktu bergaduh je baru nak ungkit masalah tu?

Wahai suami-suami... Sedarilah, apabila isteri-isteri anda bertanya, “saya OK tak, bang?” Itu tandanya isteri itu mahukan anda memberi komen. Tandanya dia mencintai anda, sanggup untuk dikritik dan mahu berubah menjadi yang lebih baik..

Sedarkah apa tanggungjawab sebagai suami?? Membimbing isteri ke jalan Allah. Memberi komen (dengan cara yang baik), membantu isteri menjadi yang lebih baik itu beerti anda membimbingnya ke jalan Allah. Anda mendidiknya menjadi isteri solehah.

Sebab bila isteri berusaha untuk berubah menjadi lebih baik untuk suami, dia akan mendapat pahala. Bila isteri jadi lebih baik, secara automatik suami juga akan berusaha sama untuk jadi lebih baik untuk isteri. Bermakna, suamipun dapat pahala.

Rumahtangga rasa lebih enjoy. Dua-dua rasa seronok sebab berusaha sama-sama. Rumahtangga jadi lebih barakah. 

Ramai lelaki fikir, sebab nak jaga hati isteri, jadi tak payahlah komen sangat. Benda kecik-kecik je, simpan je lah. Truth is dengan berbuat demikian, anda sebenarnya sangat selfish. Anda tak faham apa itu maksud 'mencintai isteri'. Mencintai isteri means, membantu dia menjadi lebih baik (and vice versa lah).

Kebanyakan isteri, bila suami cakap OK, bagi dia semuanya OKlah. Means, dia tak perlu buat apa-apa perubahan. Tapi pada waktu yang sama, dia tak tahu suami sebenarnya sedang memendam rasa.

Bila ditanya, semuanya OK. Tapi yang peliknya, suami bersikap dingin. Diam buat tak tahu, padahal masalah ada. Isteri tentu akan rasa buntunyaaaa... Suami aku dah tak minat dekat aku ke? Aku ada buat silap ke? Apa benda yang nak kena improve? Nak tanya sape?

Itu yang akhirnya, isteri mengadu dekat orang lain. Kalau perempuan, OK lagi. Kalau lelaki? Memang cari nahas. Jangan pelik kalau isteri tiba-tiba beralih arah, main cinta dengan orang lain yang dia rasa lebih memahami dan beri perhatian pada dia. Sebab, anda sendiri yang membuka ruang itu untuknya. Anda yang membuka jalan untuknya ke neraka…

Kalau dia mencurang, ya, itu memang salah dia. Dia berdosa. Tapi ingat, anda sebagai suamipun turut mendapat share dosa yang dilakukan itu.

Tuan-tuan, ketahuilah, bukan semua perempuan itu bijak pandai tentang lelaki dan tahu membaca fikiran suami dia walaupun dia tu belajar sampai Universiti Madinah sekalipun.

Oh, kenapa saya ni macam bias dan macam salahkan lelaki je? Sebab lelaki adalah ketua. Lelaki adalah imam. Lelaki kena memimpin. Jadi tolonglah jangan jadi selfish dan berfikir dalam diri je. Berfikirlah selangkah lebih jauh ke akhirat, bukan setakat dunia.

Bila dah kahwin, banyak sifat-sifat waktu kita bujang dulu yang kita kena buang. Dulu dengan kawan-kawan, kalau terasa hati, kita simpan je. Lantaklah. Memang tak jadi masalah sebab kita 'tak cintakan' kawan kita tu (lainlah kalau kau tu pakcik ‘gayah’ kan), dan kita tak tinggal serumah, tido sebantal 24 jam dengan dia.

Lain bila dah beristeri. Kalau isteri kecilkan hati kita, ya memang kita sanggup maafkan dia sebab cinta. Tapi terasa tu tetap ada. Bendanya berbeza.

Berhentilah jadi selfish ataupun control macho sangat. Kalau ada apa-apa yang tak kena pada isteri, tegurlah si dia baik-baik. Misalnya tegur sambil bergurau, "Sayang, apesal sayang gi kentut depan bos abang tadi? Malu abang tao, huhuhu..." Kalau takleh cakap, hantar emel atau SMS. Atau guna Line, ada banyak icon comel-comel. Hihi...

Niatkan lillahi ta'ala, anda mahu isteri anda jadi lebih baik supaya hati anda lebih senang kepada dia (bukan sekadar main redha-redha je). InsyaAllah, Allah pasti akan bantu. Yang penting, kena buang fikiran yang isteri akan merajuk kalau ditegur. Isteri merajuk, kalau anda yang silap teknik menegur dia. Sama jugak bila isteri nak tegur suami, kena tengok masa, keadaan dan guna intonasi yang lembut ataupun nada bergurau.

So encik-encik suami semua... Berhentilah dari berfikir sepertimana anda waktu bujang dahulu. Bukan semua masalah rumahtangga boleh kita let go macam tu je. Mostly hanya boleh diselesaikan dengan berbincang.

Sebab bila berbincang dan sama-sama cari solution, insyaAllah hubungan kita suami isteri akan jadi lebih rapat dan bermakna.

Benda kecik, akan jadi besar bila kita asyik simpan dan tanggung sorang-sorang. Inilah puncanya ramai suami yang cakap dia rasa terabai sebab isteri tak beri perhatianlah, isteri tak faham jiwalah. Padahal salah diri sendiri, sape suruh pendam sorang-sorang kan? Sape suruh main sindir-sindir atau berkias-kias sangat?

Lelaki biasanya bila dah malas nak fikir, dia akan buat benda feveret dia yang boleh hilangkan stres. Contohnya, ada masalah dengan isteri, so suami pergi main futsal dengan kawan-kawan.

Trust me, it may give you a little privacy and distraction. But that's only temporary. Bila mengadap isteri balik, the same thing keeps occuring over and over again. Stres balik. Masalah takkan hilang dan tak selesai walau sedikitpun. 

Most husband yang buat benda ni akan cakap, “Ah, dah penatlah fikir. Stres. Tak jumpa jugak solution. Main lagi bagus.”

Really, you should listen to yourself. Face the reality. Takde manusia dalam dunia ni yang boleh selesaikan masalah hanya dengan semata-mata berfikir je, tambah-tambah kalau itu first time kita hadapi masalah tu. Kena buat homework. Cuba muhasabah diri balik.

Selama ‘berfikir’ tu, dah berapa banyak buku yang kau dah baca? Pernah ke masuk forum-forum perbincangan rumahtangga? Ada ke dengar ceramah ostad-ostad hot masakini pasal rumahtangga yang bersepah-sepah dekat Youtube tu? Pernah tanya pendapat orang lain yang lebih berpengalaman (yang boleh dipercayai)? Ataupun, lazimkan diri berjemaah dekat masjid ke, at least dapat jugak merasa tenang. (Biasanya bila kita dekatkan diri dengan Allah, memang Allah akan beri kita ilham untuk selesaikan masalah kita. Tak caye, cuba try.)

Pleaseeeee lah, put some efforts to make your marriage work. Jangan selfish dan malas OK. Dah jadi ketua keluarga, so you have to act like one. Jangan jadi kanak-kanak lagi ya. Kalau rasa tanggungjawab jadi suami tu berat, tak payah kahwin.

Remember this, if you want something, then you have to work it out. Kalau betul-betul sayangkan perkahwinan anda, then prove it. Work really hard. Takde perkahwinan yang boleh kekal hanya dengan chenta sejati. Perkahwinan hanya boleh kekal bila kita bekerja keras untuk pertahankan chenta itu.

Sekian.

P/S: Sebenarnya, takut jugak nak post pasal marriage ni sebab diri sendiripun banyak lagi tak betul. Tapi nabi kata, sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia yang lain. Kalau kita ada ilmu sikit, apa salahnya share dengan orang lain kan? Ambik yang positif je ye. Salah silap harap dimaafkan. Moga bermanfaat, insyaAllah. (^_^)

Jumaat, 31 Januari 2014

Kekasih Lama: Realiti VS Mimpi

Bismillah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sudah lama saya tidak menulis. Kebetulan suami saya outstation, jadi insyaAllah pada hari ini saya ingin meluangkan masa untuk mengupas sebuah topik yang sudah lama saya simpan di dalam hati sebenarnya, sejak sebelum saya berkahwin lagi. Ada beberapa sebab yang menarik minat saya untuk membincangkan hal ini. Walaupun usia perkahwinan saya masih terlalu muda, namun tidak keterlaluan andainya saya mengupas hal-hal yang ada kaitan dengan rumahtangga kan? :)

Saya ada mengenali beberapa orang figura yang mempunyai masalah tidak dapat melupakan kekasih lama. Amat menyedihkan, kerana mereka adalah golongan yang amat aktif bergerak di dalam gerabak dakwah dan tarbiyah. Biarpun telah bertahun-tahun melepaskan (dan terputus hubungan), namun sayangnya, mereka tetap masih dihantui oleh bayangan kekasih lama. 

Mereka sudah punya kesedaran untuk memilih pasangan mengikut syari'at, namun fikiran dan hati mereka sebenarnya masih terbelenggu. Di sebalik pencarian zauj dan zaujah, mereka masih menyelitkan dan berharap akan bertemu dengan seseorang yang sekurang-kurang berperwatakan sama seperti dengan bekas kekasih  yang pernah (read: masih) mereka cintai.

Walhasil, niat yang pada awalnya ingin memilih calon kerana Allah bertukar kepada memilih calon untuk memuaskan nafsu sendiri. Mereka telah terlepas daripada satu jerat syaitan, namun terperangkap pula di dalam jerat yang lain tanpa mereka sendiri menyedarinya.

Itu masalah 'orang agamawan', cuba bayangkan orang yang 'biasa-biasa' saja, aduh, lagilah parah. Kasihan dan amat menyedihkan bila saya fikirkan. Kerana itu, saya amat terpanggil sekali untuk menulis tentang ini.

Apakah solusinya?

Kembalilah kepada realiti.

Kerana cinta yang sebenarnya itu adalah sebuah realiti, bukan mimpi.


Realiti VS Mimpi

Saya pernah mendengar seorang ustaz yang terkenal menjawab persoalan ini. Kita sudah berkahwin, namun masih tidak dapat melupakan kekasih lama, apa mahu buat? Jawab ustaz itu, soal hati dan cinta adalah suatu perkara yang terlalu complicated dan amat subjektif. Baginda Rasulullah SAW sendiri walaupun sudah mempunyai wanita sebaik saidatina A'isyah RA, namun nombor satu di carta hatinya tetap saidatina Khadijah RA.

Tiada siapa yang dapat menggantikan cinta pertama baginda.

Namun, apa bezanya situasi baginda dengan kebanyakan kita pada hari ini?

Hubungan cinta baginda dengan saidatina Khadijah RA adalah dilandaskan dengan ikatan perkahwinan yang halal, diredhai dan teriktiraf di sisi Allah. Sedangkan kebanyakan kita, 'cinta lama' kita hanyalah sebuah hubungan tanpa apa-apa ikatan yang menghalalkan, tanpa apa-apa pengiktirafan dan tidak mungkinlah pula diredhai oleh Allah.

Ianya jelas dan terang adalah merupakan sebuah kemaksiatan kepadaNya. Maka apakah cinta seperti itu perlu kita kenang dan simpan di dalam hati? Cukuplah, andainya kita doakan saja kebahagiaan buat si dia dan teruslah tutup buku yang lama. :)

Kita buka buku yang baharu. Sebuah buku tentang realiti. Kerana agama itu adalah sebuah perkara yang realiti, bukan bersulamkan mimpi.

Dewasa ini ramai sekali saya lihat samada yang bujang mahupun telah berkahwin yang terperangkap di dalam dilema ini. Sukarnya melupakan si dia yang telah pergi biarpun telah mempunyai pengganti. Sukar.

Lebih sukar apabila ianya terpaksa disimpan jauh-jauh di dalam sebuah kotak hitam di dalam hati dan fikiran kita seorang, sebuah tempat yang hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Wahai saudara dan saudariku, aku ingin menyerumu.

Berhentilah dari menyeksa dirimu dan kembalilah semula kepada realiti.

Hiduplah di dalam sebuah kehidupan yang realiti.

Pada pandanganmu, kekasih lamamu itu mungkin amat sempurna sekali di hatimu. Tiada yang dapat menggantikan tempatnya. Tiada yang setandingnya. Kamu yakin jika kamu dengannya, hidup kamu akan bahagia buat selamanya.

Wahai saudara dan saudariku, sekali lagi aku ingin menyerumu.

Kembalilah kepada realiti.

Hiduplah di dalam kehidupan yang realiti.

Pernahkah kamu mendengar kisah di mana orang yang bercinta sejak sekolah, bertahun-tahun berkongsi suka-duka, 'sweet'nya couple ini kata kamu, namun setelah berkahwin, tak sampai berapa bulan ataupun tahun, perkahwinan mereka mula bergolak. Dan pengakhirannya adalah sebuah perceraian. Wana'uzubillah. Pasti kamu terkejut bukan?

Tahukah kamu wahai saudara dan saudariku, orang yang kamu yakin bahawa dialah yang paling sempurna untukmu itu, belum tentu lagi akan dapat membahagiakan kamu di alam perkahwinan nanti? Tahukah kamu, statistik perceraian di Malaysia pada tahun 2009 adalah satu setiap 15 minit?

Tahukah kamu, berapa ramai pasangan suami isteri yang bercerai hanya kerana disebabkan oleh hal yang remeh temeh? Ianya bermula dengan tagline, 'dialah yang paling sempurna untukku'. Sebelum berkahwin, dialah yang paling comel, senyumannyalah yang paling manis, kentutnyalah yang paling wangi.

Namun setelah berkahwin, mimpi indah itu perlahan-lahan bertukar kepada sebuah realiti yang kejam. 

Sekarang kamu tidur sebantal dengannya, kamu makan sepinggan dengannya, kamu hidup 24 jam sebumbung dengannya. Rupa-rupanya mulutnya berbau, ketiaknya hangit, malas mandi, pengotor, malas mengemas rumah dan lain-lain lagi. Kerana cinta, kamu pekakkan saja telinga dan butakan mata. Tetapi lama-kelamaan, gunung berapimu akan meletus jua.

Tahukah kamu, walaupun si dia itu sempurna untukmu, namun belum tentu lagi dia sempurna di mata ibu dan bapa kamu, tambah-tambah lagi kalau kamu itu anak emas?

Saya sendiri mempunyai seorang sahabat yang amat peramah dan amat mudah sekali didekati. Boleh dikatakan, karakternya begitu disenangi oleh ramai sahabat yang lain. Namun sayang apabila ianya adalah sebaliknya setelah beliau berkahwin. Beliau menjadi orang yang agak tidak disenangi oleh keluarga mentuanya. Dan setiap hari beliau terpaksa berendam air mata menghadapi layanan daripada keluarga mentua beliau. Secara luarannya, sudah tentu kita ingat dia juga akan disenangi oleh keluarga mentua kerana begitu ramai orang menyukainya, namun realitinya bukanlah semudah itu.

Saudara dan saudariku, yakinkah kamu si dialah orang yang paling mampu untuk berdepan dengan ibumu yang tiba-tiba saja menjadi cerewet dengan menantu, ataupun mampukah dia untuk tidak merasa jijik dengan bapa kamu yang suka membuat maksiat? Yakinkah kamu dialah calon yang terbaik untuk menghadapi mulut-mulut laser kakak dan abangmu?

Tahukah kamu, di antara sebab punca perceraian dewasa ini adalah kerana masalah mentua dan ipar?

Tahukah juga kamu, statistik menunjukkan punca utama perceraian adalah kerana hubungan seksual yang hambar? Saya amat yakin sekali, ramai lelaki dewasa ini (hatta yang berkopiah sekalipun) yang ketagih mahupun terjebak dengan bahan lucah dan porno, membuatkan imaginasi seksual mereka tinggi.

Yakinkah kamu, terutamanya yang perempuan, untuk memenuhi 'imaginasi' si dia yang kononnya begitu sempurna di mata kamu itu? Sanggupkah kamu menyahut seruan 'Obidient Wives Club' untuk menjadi 'pelacur kelas pertama' kepada si dia setelah berkahwin nanti?

Dan bagaimana pula dengan pihak lelaki? Agaknya mampukah si dia yang kamu cintai itu bersabar denganmu jika kamu tidak mampu memuaskan kehendak si dia?

Tahukah kamu wahai saudara dan saudariku, bahawa perbezaan di antara kehidupan bercinta sebelum dan selepas berkahwin adalah ibarat seperti langit dan bumi? Kerana sebelum berkahwin itu hanyalah suka-suka sahaja (walaupun kamu rasa kamu serius) manakala selepas berkahwin pula adalah tanggungjawab.

Tahukah kamu, pasangan yang terlalu sibuk mencari rezeki hingga mengabaikan pasangannya adalah di antara penyebab kepada berlakunya perceraian? Bahkan yakinkah kamu yang kamu akan terus berada di sisinya sekalipun dia sudah tidak mampu lagi hendak menyediakan kewangan yang sempurna buatmu di alam rumahtangga nanti?

Tahukah lagi kamu, wahai saudara dan saudariku yang sedang dilamun cinta, punca perceraian yang seterusnya adalah kerana tidak mempunyai zuriat sendiri? Setahun, dua tahun, tiga tahun, mungkin masih dianggap fasa berbulan madu. Namun bagaimana pula jika setelah sepuluh, lima belas, atau dua puluh tahun, namun masih belum dikurniakan anak? Kebiasaannya yang dipersalahkan di dalam hal ini adalah si isteri.

Wahai saudariku, agaknya sampai bilakah kamu mampu bertahan setiapkali memandang wajah muram si dia apabila kamu tidak mampu memberinya zuriat? Mampukah kamu mengorbankan perasaanmu sendiri dengan mengizinkan si dia untuk bernikah lagi demi mendapatkan zuriat?

Wahai saudaraku, mampukah kamu untuk terus setia dengan si dia walaupun dia tidak mampu untuk memberimu zuriat? Ataupun, cukup yakinkah kamu bahawa kamu mampu untuk memberinya zuriat setelah berkahwin dengannya?

Untuk kes seperti ini, saya ada mengenali sebuah pasangan yang telah hampir dua puluh tahun berkahwin, namun masih tidak mempunyai anak sendiri. Peritnya hanya Allah sajalah yang tahu. Namun apakah yang menyebabkan pasangan ini terus setia kepada satu sama lain?


Halawatul Iman

Halwa, di dalam bahasa Melayu membawa maksud manisan. Halawatul iman, bermakna kemanisan iman.

"Tiga hal yang bisa membuat seseorang itu mampu merasakan manisnya keimanan: Mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada yang lain, mencintai seseorang kerana Allah, dan tidak mahu kembali kepada kekufuran sebagaimana ia tidak mahu dilemparkan ke dalam api." (Hadith Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

Wahai saudara dan saudariku, mencintai seseorang yang tidak halal bagi kita itu lebih menjuruskan kita kepada kekufuran kepada Allah. Jika kita masih lagi meletakkan cinta lama kita sebagai sesuatu yang indah di dalam hati kita, walhal ia tidak diiktiraf langsung di sisi Allah, bukankah itu bererti kita sedang menyimpan suatu kemaksiatan di dalam hati? Lalu tidakkah itu bermakna kitalah manusia yang paling rugi kerana walaupun sudah 20, 30, 40 ataupun 50 tahun hidup di atas muka bumi ini, namun masih tetap tidak dapat merasai kemanisan iman??

Rugi. Sangat merugikan.

Apatah lagi apabila ia kita lakukan setelah berkahwin ataupun menyimpan perasaan kepada dia yang sudah berkahwin, ia adalah salah kerana menjauhi fitrah.  

Sedangkan mendekati fitrah adalah perbuatan pahala. Menyimpan hati dan diri hanya untuk si dia yang halal dan hanya mencintai pasangan yang halal itu adalah pahala. Di situlah wahai saudara dan saudariku, jika dimengertikan sedalam-dalamnya, insyaAllah kita akan mula dapat mengecapi halawatul iman sepertimana di dalam hadith di atas.

Percayakah juga, seandainya perasaan kita tidak jujur dengan pasangan kita (suami atau isteri), begitulah juga dengan pasangan kita. Jadi usah hairan kalau suatu hari kita mendapat berita yang pasangan kita tidak setia dengan kita. Lambat-laun, Allah pasti akan menunjukkan perkara yang sebenarnya juga.

Pasangan kita adalah cerminan diri kita. Usah selalu merasa diri kita sudah cukup baik jika pasangan kita bermasalah. Kerana mungkin masalah tersebut berpunca daripada masalah hati kita ataupun diri kita sendiri juga. Seorang ustaz berpesan, jika hubungan kita ada masalah, perlulah kita periksa semula kerana ia disebabkan oleh perbuatan dosa yang mungkin berpunca daripada diri kita sendiri.

"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik..." (Surah An-Nur: 26)

Untuk mendapat pasangan yang terbaik, pilihlah untuk bercinta seikhlasnya kerana Allah.

Pasangan yang saya ceritakan di atas sebentar tadi adalah di antara ribuan pasangan yang bercinta selepas berkahwin. Alhamdulillah, saya amat yakin inilah punca utama mereka tetap masih setia bersama sehingga ke hari ini walaupun tidak mempunyai anak. Juga, walaupun setelah berkahwin, mereka tetap aktif di dalam aktiviti dakwah dan tarbiyah yang banyak mendekatkan mereka kepada Allah.

Tidak keterlaluan jika saya kongsikan di sini, pasangan yang saya ceritakan di atas ini, salah seorangnya pernah diuji dengan masalah cinta semasa mereka belum lagi berkenalan. Kerana terlalu cintakan seseorang, beliau pernah bernekad tidak mahu berkahwin jika tidak dapat bersama dengan orang yang dicintainya itu. Lihat, hanya kerana perasaan cinta, beliau hampir-hampir memusnahkan kehidupan beliau sendiri.

Namun alhamdulillah, berkat doa dan tawakal kepada Allah yang tidak putus, beliau akhirnya berjaya melupakan cinta lamanya bahkan dikurniakan pula pasangan yang amat setia kepadanya. Subhanallah. Jika difikirkan semulapun, kalaulah beliau berkahwin dengan cinta lamanya dahulu, belum tentu lagi si dia itu akan mampu untuk terus setia kepada beliau sepertimana pasangan beliau yang sekarang ini. Kesimpulannya, perancangan Allah jualah yang terbaik. :)

Saya percaya tidak mungkin wujud sebuah hubungan cinta yang tidak pernah dilanda gelombang. Mungkin hari ini kita rasa bahagia dengan pilihan kita yang sempurna. Tetapi percayalah, lambat-laun cinta itu akan diuji juga dan disitulah akan terserlah cinta yang sebenar.

Sebuah hubungan cinta belumlah lagi layak untuk ditagline dengan gelaran-gelaran seperti cinta sejati, cinta pertama, soulmate, dan sebagainya selagi kita belum lagi hidup 24 jam sebumbung dengannya, tidur sebantal dengannya dan makan sepinggan dengannya. Dalam erti kata lain, berkahwin dengan si dia.

Apakah kita semua tahu faktanya, selagi kita belum berkahwin, syaitan akan berusaha sesungguh hati untuk menghiaskan hubungan cinta supaya ianya nampak begitu sejati, ikhlas dan amat membahagiakan. Walhal yang sebenarnya itu semua hanyalah nafsu dan syahwat, sebuah mimpi. Tujuannya adalah supaya kita merasa seronok membuat maksiat kepada Allah.

Tahukah pula kita akan faktanya, setelah kita berkahwin, syaitan akan sedaya upaya berusaha untuk meruntuhkan hubungan kita dengan mula menampakkan realiti cinta yang sebenar? Bagi yang tidak memahami realiti ini, pastilah akan tertewas dan walhasil, bertempik kegembiraanlah iblis dan konco-konconya.

Seperti yang saya katakan tadi, cinta itu adalah sebuah amanah dan tanggungjawab. Cinta bukanlah sekadar si dia yang apabila kita terkenangkannya, kita rasa bahagia dan sempurna. Cinta yang sebenar adalah seburuk manapun keadaan kita (selagi tidak menyalahi syari'at), selemah manapun kemampuan fizikal kita, semiskin manapun keluarga kita, sejahat manapun sejarah lama kita, atau sesusah manapun kewangan kita, si dia tetap bersama, setia hingga ke syurga. InsyaAllah. :)

Maka wahai saudara dan saudariku, sedarkanlah dirimu dari mimpimu yang panjang.

Hiduplah berpaksikan realiti.

Bercintalah dengan realiti.

Bercintalah dengan berlandaskan agama.

Kerana di dalam agama itu ada syurga dan ada neraka.

Sedangkan syurga dan neraka itu pula adalah sebuah realiti.

Bukan mimpi, tetapi destinasi kita yang terakhir.

Renung-renungkan.

Wassalam. :)

Jumaat, 8 November 2013

Lelaki Suami



"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu.
Jika hilang agamamu, maka hilanglah cintaku padamu."


“Sebelum dia, bukan cuma seorang Har yang cuba mendekatiku. Lebih.”

Genggaman tangan Harlijah yang sedari tadi memeluk mesra buku penumbuk sahabat baiknya itu semakin erat. Dilihatnya sahabatnya itu menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan.

“Tetapi ada sebabnya kenapa aku tidak memilih mereka, Har. Kerana mereka lebih butuhkan aku untuk membimbing mereka berbanding mereka membimbing aku. Aku perempuan, Har. Dan aku tahu diriku bagaimana. Aku tak mampu untuk membimbing mereka.  Lambat-laun, bukan aku yang membimbing mereka, tapi akulah yang akan terikut-ikut mereka.

Asiah yang tersebut-sebut solehah, pun tak mampu untuk membimbing Firaunnya, Har.”

Harlijah memandang terus ke dalam mata sahabatnya. Ada genang kaca yang bersinar bening tersembunyi di balik senyuman nipis di bibirnya. Biarpun belum berumahtangga, Harlijah tetap cuba untuk menyelami kegalauan yang sedang   melanda hati sahabatnya yang sudah bergelar seorang isteri itu.

“Har, aku memilih dia bukan semata-mata kerana aku mencintainya. Tetapi kerana agama yang kulihat ada padanya. Juga kerana potensinya sebagai imamku yang tak pernah kulihat ada pada mana-mana lelaki. Agama bukan sekadar pada kopiah atau jubah saja, Har.

Ianya pada sikap, pemikiran, serta cara hidup. Aku lihat itu semua ada pada dirinya dahulu, Har. Tapi sekarang… Aku tidak tahu ke mana semua itu hilang.”

“Dia memberimu nafkah yang cukup atau tidak, Fatimah?”

Sahabatnya tersenyum dan mengangguk perlahan.

“Alhamdulillah. Dia sentiasa penuhi keperluan fizikalku, Har. Tidak pernah tidak cukup. Aku bersyukur untuk itu. Dan akupun tidak pernah meminta yang lebih seperti perempuan lain. Aku tidak pernah minta rumah yang lebih besar, kereta baru, perabot baru, atau pakaian baru… Cukup apa adanya. Aku tidak mahu membebankan dia.

Tapi… Keperluan rohaniku kosong, Har. Jiwaku kontang.

Apakah terlalu besar cita-citaku Har, untuk memiliki sebuah keluarga dan rumah yang sentiasa  dipenuhi dengan suasana agama? Apakah terlalu tinggi keinginanku untuk punya seorang imam yang selalu dapat memberiku tazkirah di rumah, ataupun yang selalu memimpin tanganku ke majlis-majlis ilmu?”

Setitik air jernih jatuh ke lengan bajunya. Fatimah menyapu birai mata yang merah.

“Aku risau, Har. Kau sendiri tahu aku membesar di dalam suasana keluarga yang seperti apa. Tiada imam di dalamnya. Tiada cahaya agama di dalamnya, Har. Dan aku nyaris ke jalan hitam jika bukan jalan agamalah yang telah menyelamatkanku. Aku tidak mahu anak-anakku membesar di dalam keadaan yang sama.

Sengsara, Har. Sengsara. Sebab itulah aku memilih dia sebagai imamku. Tapi…”

Fatimah sedikit teresak. Masih terasa kepedihan yang dialaminya semalam. Pipi kanannya masih terasa pijar hasil daripada tamparan lelaki itu.

Lelaki suaminya.

“Sabarlah sahabatku. Kau sedang diuji.”

“Aku faham dia letih setelah seharian bekerja dan perlukan waktunya sendiri. Tapi aku hanya manusia biasa, Har. Aku bukan malaikat. Aku bukan Khadijah, bukan Maryam. Bukan. Sampai masanya aku juga merasa sakit hati. Aku hanya ingin menegurnya saja, Har. Aku tidak mahu dia terus-menerus berada di dalam kelalaian bermain permainan komputer itu.

Di awal perkahwinan dulu dia pernah berjanji denganku untuk mengurangkan sedikit kegemarannya itu. Tetapi apa yang aku lihat, setiapkali dia bermain, dia semakin tenggelam di dalam dunianya sendiri, Har. Apabila dia di depan komputer, dia berubah menjadi seorang manusia yang tidak lagi aku kenal.

Lalai seorang imam Har, lalailah makmumnya. Lalai dia, lalailah aku. Pincanglah rumahtangga, Har. Pincang. Sebagaimana seorang anak yang dicorakkan oleh orang tuanya, begitulah seorang makmumpun dicorakkan oleh imamnya.”

Fatimah memicit-micit dahinya.

“Fatimah, orang selalu bilang, kalau mahu kahwin, carilah yang anak dara. Tapi faktanya kau tahu apa? Yang sudah berkahwin lebih bernilai, kau tahu? Lebih-lebih lagi yang solehah seperti kau. Pasti ada yang lebih baik yang mahukan kau.”

Harlijah menelan air liur. Entah kenapa dia tiba-tiba berkata begitu kepada sahabatnya. Tiba-tiba bulu romanya terasa merinding melihat kedua-dua bola mata Fatimah yang buntang memandangnya.

“Maafkan aku, Fatimah. Akupun tidak tahu apa yang aku katakan tadi. Abaikan, ya…?”

Fatimah memandang ke meja. Air limau di dalam gelas dibiarkan saja mencair bersama aisnya. Tekaknya sudah tidak mampu hendak menelan apa-apa. Fikirannya terus melayang kepada peristiwa tempohari sewaktu dia baru saja keluar dari sebuah klinik.

Nafasnya hampir-hampir terhenti sewaktu melihat lelaki itu. Lelaki itu. Dia elok apa adanya. Cuma, agamanya saja yang sedikit kurang. Tetapi hari itu penampilan lelaki itu amat berbeza sekali dengan apa yang pernah diingatinya dahulu. Rambut perangnya sudah tiada, sudah diganti dengan kopiah putih di atas kepalanya. Janggut nipis di dagu. Dan seorang kanak-kanak perempuan di tangannya. Tiada lagi gitar kapok.

“Assalamualaikum. Fatimah, kan?” Lelaki itu menegur. Wajahnya berbunga ceria.

“Waalaikumussalam.  Ya.” Perempuan itu cuba sedaya-upaya untuk tidak bertembung mata.

“Oh ya, ini anak aku. Fatimah, salam dengan makcik, sayang.”

Fatimah menelan air liur. Huluran tangan kecil itu disambutnya dengan senyuman.

“Eh, aku dengar kau dah kahwin. Dah ada anak?” Fatimah hanya diam dan menunduk. Tidak betah rasanya mahu bercerita yang dia baru saja keguguran kira-kira tiga minggu yang lalu.

Melihat Fatimah membisu, lelaki itu tersenyum sendiri. Berbanding Fatimah, lelaki itulah yang lebih banyak bercerita dan bertanya. Rupanya lelaki itu sudah menjadi duda, isterinya meninggal dunia sewaktu melahirkan Fatimah anaknya. Sekarang dia bekerja sebagai guru Bahasa Arab.

“Aku harap kau bahagia dan bertemu dengan apa yang kau cari selama ini. Aku sentiasa doakan kebahagiaan kau, tak pernah aku lupa…”

Entah kenapa kata-kata terakhir dari lelaki itu terasa bagai menyentap tangkai hatinya.

Aneh sekali kejadian Tuhan. Seorang lelaki yang bermula tidak berapa baik di matanya dahulu, akhirnya menjadi lebih baik di sisi Tuhannya sekarang. Manakala lelaki itu, lelaki suaminya. Dia bermula sebagai seorang lelaki yang amat terpuji dan budiman sekali di hatinya, namun sekarang, dia sedang menjadi apa…?

Menyesalkah dia meninggalkan lelaki itu dahulu kerana memilih lelaki yang itu, lelaki suaminya?

‘Tap!’ Petikan jari Harlijah mematikan lamunan Fatimah.

“Berangan?” Harlijah tersenyum.

Fatimah tersenyum kembali. Beristighfar seketika. Diperhatikannya kerudung labuh berserta jubah yang membaluti tubuhnya.

‘Solehahkah aku?’ Dia bertanya sendiri.

“Har, cukuplah pertemuan kita untuk hari ini. Sudah terlalu banyak aku bercerita barangkali. Terima kasih kerana kau sudi mendengar.”

“Well, what friends are for, right?”

Fatimah mengemaskan diri, bersiap-siap mahu pulang.

“Mahu pulang?” Harlijah bertanya.

Fatimah tersenyum dan mengangguk. Hatinya bagai dipanggil-panggil untuk pulang. Pulang kepada syurganya. Pulang kepada lelakinya. Lelaki suaminya, yang dahulu telah dia pilih berdasarkan petunjuk istikharah dari Tuhan.

“Betul katamu tadi Har, aku sedang diuji. Tuhan tidak pernah memberi pasangan yang salah.”


-------------------------------------
P/S: Untuk renungan para suami dan isteri. Tiada kena-mengena dengan yang hidup mahupun yang mati. Peace~ (^_^)v

P/S/S: Oh ya, kepada follower blog Cik Beah yang masih belum tahu, alhamdulillah Cik Beah dah selamat bernikah lebih kurang tiga bulan yang lepas. Sorry lama menghilang. Hehe^^

Sabtu, 18 Mei 2013

Hikayat Cik Salmah Comel - Bahagian 2 (Akhir)


Adapun setelah itu, saya serta penjaga sayapun meneruskanlah kerja-kerja berlipur di panggung Cik Salmah Comel kami pada setiap hari tanpa sebarang gangguan lagi. Sedang waktu semakin deras berlalu, begitulah juga nama Cik Salmah Comelpun turut meniti laju dari bibir ke bibir seiring dengan berkembangnya teknologi 'inturnut' di negeri kami itu.

Hinggalah pada suatu hari, saya menerima berpucuk-pucuk surat daripada peminat panggung Cik Salmah Comel yang meminta kami menyertai sebuah komuniti sosial melalui jaringan 'inturnut' yang dipanggil 'Fussbook'. Kata mereka, andai kami menyertai jaringan itu, capaian kami akan menjadi lebih luas lagi dan kami boleh berinteraksi dengan peminat dengan lebih efektif. Walaupun diasak bertalu-talu, hampir setahun lebih juga saya menangguh dengan pelbagai alasan sebelum akhirnya mengalahlah jua.

Bukan apa, yang akan menguruskan jaringan Cik Salmah Comel itu nanti hanya saya seorang sahaja kerana penjaga saya itu seorang yang buta huruf dan buta teknologi. Saya bimbang kerana saya masih lagi anak dara dan saya dengar di dalam 'Fussbook' itu pula ramai lelaki-lelaki buaya. Bagaimana nanti jika ada yang cuba memancing saya dan saya termakan 'kail' mereka hingga menyebabkan niat asal saya tersasar?

Kebimbangan saya itu terbukti benar kerana sewaktu membuka akaun Fussbook Panggung Cik Salmah Comel itu, saya awal-awal lagi sudah terkena bermacam-macam jenis 'gangguan'. Ada yang berkirim salam dari jauh kepada saya, ada yang memuji-muji saya, bahkan yang mahu berkenalan dengan harapan ingin menjadikan saya sebagai isterinya pun ada. Di antara yang menghulurkan salam perkenalan, ada juga yang punya nama besar di dalam 'Fussbook' itu. Sebagai seorang perempuan, sudah tentulah jiwa saya sangat terganggu kerana umur saya sebenarnya sudahpun layak untuk berkahwin.

Dan amatlah menghairankan saya sebenarnya bagaimana seorang perempuan itu bisa membuatkan lelaki berbondong-bondong khayal mencintainya, walhal suaranya pun belum pernah didengar, matapun belum pernah bertentang, bahkan namapun tidak ketahuan. Di atas sebab itulah sejak dari awal lagi saya tidak pernah meletakkan baik potret diri saya sendiri mahupun penjaga saya di dalam akaun Fussbook itu, tetapi sebaliknya hanyalah meletakkan potret Cik Salmah Comel dan rakan-rakannya sahaja.

Seperti biasa apabila ianya melibatkan hal-hal peribadi, jarang sebenarnya saya hendak bercerita kepada penjaga saya. Tetapi entah kenapa saya seolah-olah merasakan pada suatu hari melalui sebuah hikayat yang disampaikannya, kata-kata dari penjaga saya itu seperti sedang ditujukan betul-betul kepada saya. Hampir-hampirlah juga tercampak anak patung Cik Salmah Comel yang sedang berada di hujung jari saya tatkala mendengarnya.

"Adapun seorang perempuan itu wahai anakku, bermula dari hujung rambut, hinggalah ke hujung kuku kakinya adalah fitnah belaka. Jika ia tidak menjaga dirinya benar-benar, maka jadilah ia sebagai lubuk neraka bagi setiap lelaki yang memandangnya. Alamat celaka sekalilah kehidupannya di negeri yang di sini mahupun di negeri yang di sana kelak."

Lalu sejak itu sayapun nekadlah berusaha sedaya-upaya saya agar tidak melayan mana-mana 'kail' yang cuba memancing saya di Fussbook itu hingga
akhirnya 'buaya-buaya' itupun senyap termati kutulah belaka. Untuk itu saya amatlah bersyukur ke hadirat Tuhan yang telah menyelamatkan saya walaupun ada yang menuduh saya 'memilih' kerana saya ini sebenarnya adalah mak janda. Bukan itu saja, ada juga yang menuduh saya sudah berkahwin tapi pura-pura sebagai anak dara. Sakit hati juga saya sebenarnya, tetapi biarlah. Lebih baik saya tumpukan saja perhatian kepada kerja-kerja murni saya yang lebih utama ini.

Tamatlah episod saya yang diganggu oleh buaya-buaya yang pandai memancing itu. Untuk episod yang seterusnya, saya diganggu lagi, tetapi oleh 'bidadari' pula. Sebenarnya saya ini sejak kenal dunia bersama dengan penjaga saya itu, hidup kami bolehlah diibaratkan seperti kehidupan ayam-ayam sahaja. Kais pagi, makanlah kami untuk pagi itu sahaja. Petang jika terasa hendak makan lagi, kaislah lagi.

Maka kerana itu, tiadalah seorangpun anak gadis yang teringin hendak menjadi kawan saya kerana begitu daiflah rupa saya melebihi daifnya rupa seekor anak beruang di tengah hutan. Tambahan pula saya ini hanyalah orang belakang tabir sahaja dan amatlah sedikit sekali bicaranya, tidak petah dan lemah lembut pula tutur katanya seperti kebanyakan anak gadis yang lain.

Namun di dalam takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, sejak panggung Cik Salmah Comel mula dikenali, ramailah anak gadis yang sebelum ini tidak pernahpun memandang saya, mula memandang saya. Sebaik selesai sahaja panggung Cik Salmah Comel, berkerumunlah mereka di belakang kereta kuda kerana mahu bertemu dan beramah mesra dengan saya.

Pernah satu kali akibat terlalu gembira kerana sudah mempunyai ramai kawan, saya 'hilang' berhari-hari dari kereta kuda penjaga saya kerana 'diculik' oleh kawan-kawan baru saya itu. Mereka membawa saya berjalan-jalan di dalam kampung mereka, menjamu saya dengan makanan yang sedap-sedap. Bahkan mereka juga meminta saya untuk berlipur kepada mereka. 

"Bidadari-bidadari sekalian, marilah ke mari, ada Cik Salmah Comel hendak berlipur di sini."  Begitulah mereka memperkenalkan saya, walhal nama saya bukanlah Cik Salmah Comel. Walaupun saya sebenarnya amatlah tidak senang sekali dengan cara pengenalan yang seperti itu, tetapi kerana ingin menjaga hati mereka, saya turutkanlah sahaja.

Begitulah untuk selama beberapa masa, saya tenggelam di dalam belaian 'bidadari-bidadari' itu. Hinggalah pada suatu hari, saya tiba-tiba terasa rindu kepada penjaga saya. Teringatlah saya kepadanya, saya di sini sedang makan yang sedap-sedap, tidur pula di bantal yang empuk-empuk, siang berteman, malampun juga berteman. Apalah pula nasibnya seorang diri di kereta kuda bersama Cik Salmah Comel dan rakan-rakannya?

Sewaktu dalam tidur, saya menangis diam-diam. Sedang di dalam hati, saya sudahpun nekad hendak keluar daripada kampung itu dan kembali semula ke kereta kuda saya pada keesokan harinya.

"Janganlah begitu, Cik Salmah Comel sekarang kan sudah jadi bidadari. Tidaklah layak bagi seorang bidadari untuk naik kereta kuda seburuk itu dan tinggal di hutan-hutan dengan makanan dari hutan pula."

Sebaik sahaja terdengar mereka memanggil saya bidadari', semakinlah bertambah kerinduan saya kepada penjaga saya. Seperti terlihat-lihat di mata saya yang wajahnya ada di mana-mana walau ke mana saja saya halakan pandangan saya. Waktu itu barulah saya tersedar, penjaga saya itu, walaupun tidak pernah memanggil saya 'bidadari', tetapi dia tetap menyayangi saya dengan sepenuh hati. Walaupun saya tidak pernah mendiami rahimnya selama sembilan bulan, namun dia tetap menganggap saya seperti anak kandungnya sendiri.

Lalu adakah saya sanggup menukar seorang 'ketua bidadari' saya di kereta kuda yang buruk itu hanyalah semata-mata kerana tergilakan pujian daripada 'bidadari-bidadari' yang perasan ini? Cepat-cepat saya menyeka air mata dan berlari sekuat-kuat hati saya tanpa menoleh ke belakang lagi. Setibanya di kereta kuda, saya lihat penjaga saya itu sudahpun siap mengambil tempat di depannya sambil tersengih-sengih memandang saya, hanya menunggu saya sahaja untuk naik dan terus bertolak.

Sejak daripada peristiwa 'digoda' bidadari itulah, saya benar-benar telah bertaubat dan menundukkan pandangan saya. Walaupun bidadari-bidadari itu tetap mengikut saya walau ke manapun saya pergi, tidaklah lagi saya mahu melayan mereka kerana terlalu sayangkan penjaga saya itu. Biarlah saya tidak dipanggil bidadari sekalipun, biarlah kawan saya hanyalah Cik Salmah Comel dan rakan-rakannya itu sahaja, tidak mengapalah, asalkan saya tidak lagi berpisah dan berenggang dengan penjaga yang amat saya sayang itu.

"Anakku, dunia ini tidak akan selamanya memujimu. Ada masanya iapun akan membunuhmu dengan kejiannya juga. Begitulah jua ibumu inipun tidak selamanya akan ada bersama denganmu. Suatu hari kematian ibu akan membunuh jiwamu juga. 

Maka kerana itu haruslah dirimu membunuh ibumu ini terlebih dahulu sebelum ibu membunuhmu kemudian." Pada suatu hari, penjaga saya itu berkata di sela batuknya sewaktu saya sedang mengesat air mata kerana terlihat darah segar bertompok-tompok pada sapu tangannya.

Saya menggosok-gosok belakangnya sambil menahan sebak di dada.

"Untuk mendapat cinta yang paling agung itu, kamu harus melalui beberapa ujian cintanya. Di pandangan ibu, kamu sudahpun lulus semua ujian itu, kecuali satu saja ujianmu yang terbesar, iaitulah cintamu kepada ibu.

Sudah sampailah masanya untukmu hai anakku untuk mengambil jalanmu sendiri. Pergilah kamu mencari 'anak'mu pula. Jagalah ia sebagaimana ibu menjagamu, ataupun lebih baik dari itu. Sudah sampai masanya untuk kita berpisah.

Belajarlah untuk membunuh ibu dari hatimu."

Kata-katanya itu membuatkan saya benar-benar rasa terpukul. Pipi saya terasa basah seperti mandi.

"Apakah ibu langsung tidak mencintai diri saya?" Waktu itu saya sedikitpun sudah tidak boleh lagi memandang ke wajah penjaga saya.

"Ibu mencintaimu nak, hanyalah kerana ibu tahu Tuhanpun mencintaimu. Tetapi tidaklah ibu akan mencintaimu hai anakku, kalau hanya kerana ibu ingin mencintaimu semata-mata tanpa sebarang sebab."

Dan kata-kata itupun termati di situ sahaja.

- - - - - - - - - - - - - - - -

Gedebuk! Sebiji buah kelapa tua jatuh dan bergolek-golek di depan beberapa orang yang sedang khusyuk mendengar membuatkan sesetengahnya melatah terkejut.

"Jadi, adakah perempuan di dalam hikayatmu itu berjaya membuang cintanya kepada ibunya itu? Aneh sungguh hikayatmu ini." Seorang lelaki tua yang sedang menyandar di sebatang pokok kelapa bertanya. Berayun-ayunlah akan misainya kerana begitu bersungguhnya ia ingin tahu.

Perempuan gila yang memakai kotak di atas kepalanya itu hanya tersengih-sengih.

"Entahlah. Akupun tidak tahu. Sebenarnya aku sendiripun tidak tahu apa kesudahan hikayat ini. Hehehe..."

"Eh, buang masa aku saja berjam-jam di bawah pokok kelapa ini mendengar hikayatmu, tapi rupa-rupanya tidak ada penamat. Memang dasar perempuan gila! Terkena juga aku hari ini!"

Seketul batu sebesar penumbuk dilempar dan betul-betul mengenai dahi perempuan yang berjubah 'pontianak' itu. Dia jatuh terlentang, sedang orang-orangpun beransur-ansur pergi tanpa mempedulikannya lagi. Di bawah kotak lusuh yang menutupi kepalanya itu, secalit senyum terukir di bibir dan air matanya pun turun membasahi kedua-dua belah pipinya.

"Hai... Alangkah beruntungnya aku kalau ibu itu benar-benar wujud. Tidaklah aku gila seorang begini..." Perempuan itu berkata di dalam hati. Dahinya yang terkena batu mula terasa berdenyut-denyut.


~Tamatlah hikayat untuk kali ini. :p

Hikayat Cik Salmah Comel - Bahagian 1

Nama saya Maryam. Nama itu diberi kepada saya oleh penjaga saya. Saya tidak pernah kenalpun baik ibu mahupun ayah saya sendiri, kerana sejak kecil lagi saya sudah tinggal dengan penjaga saya itu. Bagaimana dia boleh menjaga saya, tidak pernah pula saya bertanya. Tetapi saya kira di atas kebaikannya yang telah menjaga saya sejak sebelum saya kenal dunia ini lagi, maka saya wajiblah taat kepada segala suruhannya.

Penjaga saya itu mempunyai sebuah kereta kuda di mana kereta kuda itulah tempatnya kami tidur pada waktu malam, juga tempat untuk kami berlindung dari hujan dan panas. Dan oh ya, penjaga saya itu kerjanya adalah sebagai penglipur lara, atau dalam bahasa modennya, tukang cerita. Kami biasanya akan bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain dan tidak pernahpun menetap hanyalah di satu tempat sahaja.

Hendak dijadikan cerita, sejak akhir-akhir ini, sambutan terhadap hikayat-hikayat rakyat, 1001 malam serta wali-wali yang disampaikan oleh penjaga saya itu semakin hari semakin berkurangan. Pada pandangan saya, itu mungkinlah disebabkan kerana zaman yang sudah semakin canggih dan moden. Kanak-kanak sekarang sudah tidak berminat lagi untuk mendengar kisah pelik-pelik yang tidak masuk akal.

Pernah pada suatu malam di bawah cahaya bulan, saya melihat penjaga saya itu teresak-esak sendiri di belakang kereta kuda. Saya tahu, dia sebenarnya sedih kerana masyarakat sudah tidak lagi mahu mendengar hikayat-hikayat yang telah diwarisinya sejak turun-temurun daripada emak, nenek, serta moyangnya. Kerana itu, saya mula berfikir apakah caranya untuk saya membantunya. 

Berdasarkan buah fikiran yang diberikan oleh saya, penjaga saya itupun bersetujulah untuk mengubahsuai kereta kudanya untuk dijadikan sebagai 'panggung kecil' di mana tangan saya akan dikeluarkan untuk memain-mainkan anak patung sebagai mewakili watak di dalam hikayat. Kerana khalayak sasaran kami adalah kanak-kanak, maka saya fikir dengan membuat anak-anak patung yang comel, itu akan lebih menarik perhatian mereka.

Saya dan penjaga saya sepakat menggelarkan anak patung watak utama itu sebagai 'Cik Salmah Comel', manakala panggung kecil itu pula dinamakan sebagai 'Panggung Cik Salmah Comel'.

Dan di atas keizinan Tuhan, dengan kehadiran Cik Salmah Comel serta rakan-rakannya, hikayat-hikayat penjaga sayapun mendapat sambutan hangat semula. Semakin hari, permintaan semakin bertambah dan kami semakin dikenali bukan di kalangan kanak-kanak sahaja, tetapi juga di kalangan orang-orang dewasa. Oh sebenarnya, yang terkenal itu hanyalah penjaga saya sahaja, kerana saya sekadar menolongnya dari belakang tabir dan tidak pernahpun keluar ke 'depan'. 

Itu kerana niat saya, hanyalah ingin memastikan hikayat turun-temurun yang sarat dengan pengajaran dan hikmah yang disampaikan oleh penjaga saya itu tidak hilang begitu sahaja.

Sehinggalah pada suatu hari, saya menerima sepucuk surat daripada seorang pekerja siaran panggung tersohor yang bernama 'Panggung AlHizrah'. Pekerja itu mahu menemuramah saya untuk sebuah rancangan yang akan disiarkan di 'Panggung AlHizrah'. Entah bagaimana pada waktu itu, timbullah keinginan-keinginan yang sangat jahat di dalam hati saya hingga saya lupa kepada niat asal saya yang sebelum ini.

Iyalah, sesudah payah-jerih saya selama ini menyengkang mata menjahit Cik Salmah Comel dan rakan-rakannya, terpaksa bermusafir berhari-hari untuk mencari benang dan kain yang berkualiti, langsung tidak pernah menunjukkan wajah saya yang sebenar kepada penonton, rasanya saya berhak untuk diberikan pengiktirafan seperti itu. Begitulah saya berkira-kira seorang diri, sampai tersengih-sengih saya dibuatnya apabila terfikir yang saya bakal menjadi orang terkenal dan mungkin juga wajah saya akan terpampang di dada-dada makalah selepas ini.

Namun saya kira, Tuhanlah yang telah menyelamatkan saya daripada terjatuh ke lembah fitnah dengan keberadaan diri saya pada waktu itu. Sebenarnya saya sedang berada di negeri Suwuon mencari kain untuk menjahit baju baru buat Cik Salmah Comel dan rakan-rakannya. Dan untuk sampai ke negeri Kuala Selut di mana temuramah itu akan diadakan, saya perlu bermusafir lagi berminggu-minggu. Oleh kerana itu, tempat sayapun digantikan dengan orang lain.

Dan dengan hati yang penuh redha, saya terima saja takdir itu kerana saya fikir mendapat perhatian daripada Tuhan itu adalah jauh lebih baik daripada mendapat perhatian manusia. "Perhatian manusia tidak akan menyelamatkan kita dari api neraka. Tetapi perhatian Tuhanlah yang akan menyelamatkan kita." Begitulah saya ingat, pengajaran yang disampaikan oleh penjaga saya di dalam salah sebuah hikayatnya sebelum ini.

Sebenarnya, pernah juga saya terlintas, apakah niat saya akan terlari lagi, siapa tahu, nanti ada orang datang  menawarkan kepada saya dan penjaga saya bayaran yang lumayan atau dalam kata lainnya, ingin memperdagangkan panggung Cik Salmah Comel? Tidak pernahlah saya suarakan fikiran saya itu kepada penjaga saya, tetapi entah bagaimana dengan izin Tuhan, ianya menjadi kenyataan. Bukan sekali kami pernah ditawarkan, tetapi dua-tiga kali juga rasanya.

Kali pertama, seorang lelaki datang kepada saya dan penjaga saya yang sedang mengemas-ngemas di belakang kereta kuda. Lelaki itu menawarkan kepada kami satu pertiga daripada keuntungan barang dagangannya. Dengan syarat, setiap kali berakhirnya panggung Cik Salmah Comel kami, dialah pula yang akan mengambil alih dengan mengiklankan barang-barangnya kepada para penonton.

Sudah beberapa hari sebenarnya saya dan penjaga saya asyiklah menghadap pulut bersama ikan kering sahaja buat santapan harian. Sekali-sekala, apa salahnya kalau saya ingin menukar ikan kering itu dengan seketul daging ayam ataupun sebuku daging lembu? Begitulah saya berkata-kata seorang diri di dalam hati. Sementara penjaga saya pula saya lihat hanyalah tersenyum nipis sahaja sambil matanya melirik-lirik ke arah saya yang sedang menelan-nelan air liur di sebelahnya.

Setelah beberapa ketika, akhirnya lirikan dan senyuman daripada penjaga saya itu saya terjemahkan ke dalam sebuah gelengan kepala dan lelaki itupun melangkah pergi dengan penuh akur. Saya pula terus menelan air liur, manakala penjaga saya semakin tersenyum lebar memandang saya.

Untuk kali yang kedua, datang pula seorang perempuan yang amat manis sekali rupanya dan begitu lembut pula tutur katanya. Buat seketika, hampir-hampir saya ingatkan dia ialah bidadari yang turun dari langit. Mujurlah di belakangnya tidak ada sayap. Kalau tidak, mungkin saya sudah pengsan tidak sedarkan diri. Perempuan itu meminta saya untuk menjahit lebih banyak anak-anak patung Cik Salmah Comel untuk didagangkan dengan tujuan amal.

Pada awalnya saya ingin bersetuju sahaja kerana agak terpengaruh perkataan 'amal' yang digunakan itu. Tetapi disebabkan penjaga saya pula sedang berada di dalam hutan mencari pucuk-pucuk untuk dibuat ulam, saya bertangguh dahulu daripada terus memberi jawapan. Saya cuba membayangkan apakah agaknya yang akan dilakukan oleh penjaga saya itu sekiranya dialah yang sedang berada di tempat saya.

Tujuan amal itu bagus dan saya tidak ada masalah langsung untuk menjahit anak-anak patung Cik Salmah Comel itu. Tetapi bagaimana pula sekiranya sambutan terhadap anak-anak patung Cik Salmah Comel itu bertukar menjadi begitu memberangsangkan nanti? Demi mengejar ketul ayam dan buku daging yang lebih banyak, boleh jadi niat saya akan lari lagi. Nanti amalnya entah ke mana, apanya entah ke mana. Secara spontan, sayapun menolak tawaran daripada perempuan itu baik-baik. 

Tidak berapa lama selepas itu, penjaga saya kembali dengan segenggam pucuk ubi kayu di tangannya. Apabila saya ceritakan kepadanya peristiwa sebentar tadi, penjaga saya itu hanya tersenyum saja sambil kepalanya terangguk-angguk. Saya pula membalas kembali senyumannya itu walaupun sebenarnya saya masih lagi ragu-ragu apakah senyuman penjaga saya itu adalah tanda ia redha ataupun marah kepada saya.

Sedang saya mencelur pucuk ubi kayu di atas api, penjaga sayapun menghampiri saya lalu mengeluarkan sebuah uncang kecil. Dari uncang itu, dia mencubit sedikit serbuk kekuningan lalu menabur-naburkannya ke dalam periuk. Sebenarnya sehingga sekarang saya masih lagi tidak tahu apakah bendanya serbuk kekuningan itu dan kenapa pula serbuk itu tidak pernah habis-habis. 

Kata penjaga saya sambil tersenyum, "Nak beri makanan kita sedap, kita kenalah ada ramuan-ramuan rahsia. Ramuan yang hanya kita seorang saja yang tahu apa kandungannya."

Melihat saya yang berkerut-kerut sambil mengacau-ngacau pucuk ubi kayu di dalam periuk itu, penjaga saya menyambung dalam suara separa berbisik, "Samalah juga dalam hal amal ibadat kita. Harus ada satu ataupun lebih amalan, tujuannya hanyalah khas untuk Tuhan sahaja dan bukan untuk kesenangan perut kita."

Sekali lagi saya berkerut. Pening saya dibuatnya, apakah kata-katanya itu ada kena-mengena dengan peristiwa sebentar tadi? Entahlah. Tetapi untuk tawaran dagangan yang ketiga, saya sememangnya tidak lagi berfikir panjang tetapi sebaliknya terus sahaja menolak. Sebenarnya saya tidak menolakpun, saya hanya terus buat tidak tahu sahaja.